UMNO Lemah Jika Takut Pertahankan Prinsip

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan parti itu akan menjadi lemah sekiranya pemimpinnya takut mempertahankan prinsip sendiri, walaupun berdepan kritikan daripada suara dalam parti yang tidak bersetuju dengan pendirian tegas Pemuda terhadap DAP.

Memetik temubualnya bersama BH, beliau berkata teguran yang lahir daripada keikhlasan demi kebaikan parti wajar diterima, namun sikap terlalu berkompromi sehingga menggadaikan maruah parti tidak membantu menguatkan UMNO.

“UMNO kuat kerana prinsip, bukan kerana takut kehilangan kawan,” katanya ketika mengulas suara dalaman parti yang mempersoalkan pendirian tegas Pemuda terhadap DAP.

Mengulas tindakannya melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka, Akmal menjelaskan keputusan itu dibuat atas dasar prinsip dan fokus perjuangan, bukan kerana jawatan.

“Jawatan bukan segala-galanya. Perjuangan lebih utama,” katanya sambil menegaskan usaha menegur dan membetulkan keadaan boleh dilakukan dari dalam parti dengan lebih berkesan.

Beliau turut menekankan bahawa perjuangan sebenar ialah memastikan suara rakyat dan Pemuda tidak disenyapkan walaupun berada dalam kerajaan.

“Fokus saya adalah memperkukuh Pemuda UMNO sebagai suara semak dan imbang yang berani,” katanya.

Mengulas persepsi bahawa UMNO semakin ‘hilang taring’ selepas bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan, Akmal berkata tanggapan itu wujud kerana rakyat mahu melihat sejauh mana UMNO masih berani mempertahankan prinsipnya.

“Hakikatnya, taring UMNO tidak hilang. Ia hanya perlu ditonjolkan dengan lebih jelas dan konsisten,” katanya.

Menurut beliau, untuk mengembalikan taring UMNO, parti itu perlu berani bersuara, tegas dalam isu rakyat dan tidak dilihat terlalu defensif.

“UMNO perlu kembali menjadi parti yang memimpin, bukan sekadar mengikut arus politik semasa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles