MINDEF Sokong Arahan PM Beku Perolehan Berkait Isu Rasuah

PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan komitmen untuk mematuhi arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengarahkan pembekuan sementara keputusan perolehan melibatkan isu rasuah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak kementerian kini dalam proses mendapatkan maklumat terperinci serta penjelasan lanjut mengenai arahan pembekuan keputusan perolehan yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, MINDEF akan meneliti mekanisme pelaksanaan arahan tersebut agar selari dengan prinsip tadbir urus yang baik, peraturan kewangan serta kerangka perundangan yang sedang berkuat kuasa.

“Dalam membuat pertimbangan ini, aspek kesiapsiagaan pertahanan dan kelangsungan operasi negara perlu diberikan perhatian serius supaya tidak terjejas,” katanya menerusi kenyataan di platform X, hari ini.

Mohamed Khaled menjelaskan, kementerian akan menilai kesan pembekuan itu terhadap projek perolehan yang sedang berjalan, termasuk kontrak yang telah dimeterai, dengan mengambil kira tanggungjawab kontrak sedia ada, keperluan operasi semasa serta kepentingan keselamatan negara secara keseluruhan.

Beliau turut memaklumkan, seperti yang diumumkan sebelum ini, MINDEF sedang meneliti langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tahap integriti dan mengelakkan sebarang ketirisan pada masa akan datang.

Hari ini, Perdana Menteri mengumumkan semua keputusan perolehan ATM dan PDRM yang mempunyai kaitan dengan isu rasuah akan dibekukan sementara sehingga semua prosedur perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui kementerian berkaitan akan menilai semula dan menyusun semula proses perolehan bagi memastikan ketelusan dan integriti sistem sedia ada terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles