Isu Sijil Halal Babi: Teresa Kok Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran artikel palsu bertajuk “Sijil halal untuk babi adalah wajar” yang didakwa memfitnah beliau.

Teresa menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti didakwa dan artikel itu telah mencemarkan namanya serta berpotensi menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Katanya, artikel berkenaan mula diketahui selepas dikongsi rakan melalui WhatsApp sebelum tular di media sosial menggunakan nama dan gambarnya.

“Setakat ini, 18 akaun Facebook dan satu akaun Threads dikesan menyebarkan artikel palsu itu. Saya mahu siasatan dibuat dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak terlibat,” katanya dalam hantaran Facebook selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling, semalam.

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya menyokong sijil halal untuk babi dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil mengesahkan tajuk tular berkenaan tidak pernah disiarkan oleh BH Online dan telah dimanipulasi daripada laporan asal.

BBerkaitan

Latest articles