MUAR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa kehadiran DAP dalam blok kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya menjadi punca utama kepada pelbagai masalah kebajikan dan ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat serta golongan peniaga Cina di negara ini ketika ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas bagi PRN Johor, Tan Sri Annuar Musa berkata, rekod menunjukkan kaum peniaga kecil komuniti itu kini berdepan tekanan peraturan serta sistem cukai yang membebankan di negeri-negeri yang ditadbir oleh DAP dan sekutunya.
Menurut beliau, momokan kononnya masyarakat Cina akan terpinggir sekiranya memilih pembangkang atau Pas adalah tidak benar sama sekali, memandangkan kebajikan kaum itu sentiasa terbela di bawah formula politik tanpa DAP.
”Rakyat dan kepimpinan Johor telah menunjukkan satu keberanian politik luar biasa memperagakan politik ‘No DAP, No Problem’. Kebajikan orang Cina tetap terbela walaupun tanpa DAP.
”Malah masalah yang dihadapi oleh masyarakat Cina sekarang ini, kaum peniaga, orang di bandar, adalah akibat dasar kerajaan PH yang mana DAP menjadi sebahagian daripada pentadbiran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Grand Finale PRN Johor Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram, malam tadi.
Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menjelaskan, situasi berbeza dapat dilihat di negeri-negeri pantai Barat seperti Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan di mana DAP memegang kuasa dominan dalam pentadbiran.
Dakwa beliau, rata-rata petani, usahawan kecil, serta penduduk bandar dalam kalangan masyarakat Cina di kawasan terbabit kerap mengadu mengenai kekangan operasi, kenaikan cukai pintu, dan birokrasi ketat yang diperkenalkan kerajaan tempatan.
”Orang Cina bermasalah di mana adanya DAP. Di Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan, mereka berdepan masalah nak berniaga dengan sistem cukai dan peraturan yang membebankan akibat dasar kerajaan tempatan ditadbir mereka,” tegasnya.
Sebaliknya, Annuar memberi jaminan bahawa model politik dan pentadbiran berteraskan Islam yang dibawa oleh Pas terbukti memberikan keadilan tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.
Jelasnya, di negeri-negeri kubu kuat PN seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah, komuniti bukan Islam bebas menjalankan aktiviti ekonomi dan harian tanpa sebarang gangguan atau diskriminasi daripada pihak berkuasa.
”Pas dah lama bertapak di Johor, tiada masalah untuk orang Cina. Pas dah lama perintah Kelantan, Terengganu, dan Kedah, juga tiada masalah. Sejarah dunia membuktikan, pentadbiran dipimpin orang Islam yang bertakwa akan menjamin kehidupan semua pihak kerana mereka takut melakukan kezaliman dan rasuah,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Johor agar menolak naratif ketakutan yang dibawa oleh PH dan memastikan undi pada Sabtu ini disalurkan sepenuhnya kepada calon-calon PN demi perubahan landskap politik negara.










