Pas ‘Hulur Tangan’ Sudi Kerjasama Dengan UMNO, MCA Dan MIC Di Johor Demi Kuasa Politik Islam

MUAR: Pas menyifatkan jalinan kerjasama politiknya bersama UMNO serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain di Johor adalah satu langkah pragmatik demi memelihara dominasi kuasa politik umat Islam dan Melayu di negara ini.

​Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kesanggupan parti itu untuk bekerjasama termasuk menerima parti bukan Islam seperti MCA dan MIC adalah bukti keterbukaan Pas, bersandarkan prinsip bahawa parti-parti tersebut tidak bersikap ekstrem.

​Menurut beliau, keutamaan Pas ketika ini adalah bagi memastikan kuasa politik orang Islam tidak terancam, sekali gus menolak sebarang ideologi yang cuba memisahkan agama daripada urusan pentadbiran negara.

​”Pas sanggup mengetepikan perbezaan dan bekerjasama demi memastikan kepimpinan negara terus diterajui oleh kaum majoriti yang beragama Islam, sekali gus menjamin kestabilan politik yang menyeluruh,” katanya dalam ucapan di Grand Finale PRN Johor Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram, malam tadi.

​Dalam pada itu, mengulas mengenai kebimbangan masyarakat bukan Islam terhadap dominasi politik Islam yang dibawa oleh parti tersebut, Abdul Hadi memberi jaminan bahawa keadilan akan tetap ditegakkan tanpa mengira kaum dan agama.

​Malah, beliau menggesa semua pihak untuk melihat model pentadbiran Pas di Kelantan dan Terengganu sebagai bukti nyata di mana hak kebajikan, ekonomi dan pendidikan bahasa ibunda kaum lain sentiasa dipelihara dengan baik tanpa sebarang sekatan.

​Jelasnya lagi, dalam teori fiqh politik Islam, penglibatan bukan Islam amat dialu-alukan dalam aspek pengurusan dan pelaksanaan eksekutif meskipun penggubalan dasar utama negara perlu kekal di tangan pemimpin Islam.

​”Sejarah telah membuktikan bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi fanatik kaum. Di bawah pemerintahan Pas, kaum bukan Islam mampu hidup dengan aman, harmoni, dan bebas menjalankan aktiviti mereka.

​”Oleh itu, tidak ada sebab untuk mana-mana kaum merasa gusar dengan model kepimpinan yang kami tawarkan,” ujarnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles