Pertemuan Anwar, Trump – “PM Buat Kesilapan Besar Masuk Kereta, Perbincangan Misteri”


MUAR: Pentadbiran Putrajaya terus menerima kritikan hebat berhubung ketelusan dalam mengendalikan hubungan diplomatik, khususnya melibatkan pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ketika lawatan beliau ke Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu.

​Isu berkenaan dibangkitkan oleh Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang menyuarakan kebimbangan mengenai intipati perbincangan rahsia yang berlaku antara kedua-dua pemimpin tertinggi tersebut semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung.

​Menurut Mukhriz, persoalan besar timbul apabila Anwar dilihat meluangkan masa berdua-duaan di dalam kenderaan rasmi Trump yang dikenali sebagai “The Beast”, tanpa kehadiran mana-mana pegawai diplomatik atau menteri kabinet yang boleh mengesahkan butiran perbualan mereka.

​”Satu kesilapan besar yang dibuat oleh Perdana Menteri ini ialah apabila diajak oleh Donald Trump masuk dalam kereta dia, dia pun ikut sekali. Dan kita tahu dalam kenderaan itu, tak ada siapa boleh dengar apa yang dibincang empat mata dalam kereta itu.

​”Walaupun ada pemandu, ada pengawal keselamatan di depan, mereka tidak boleh dengar apa yang berlaku di belakang,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram, di sini malam tadi.

​Mengulas lanjut, Mukhriz mendakwa bahawa kesan daripada pertemuan misteri di dalam kenderaan itu telah diterjemahkan melalui pemeteraian satu perjanjian timbal balik antara kedua-dua negara sejurus selepas itu.

​Bagaimanapun, beliau menyifatkan perjanjian tersebut sebagai sesuatu yang tempang dan hanya memberi kelebihan kepada kuasa besar barat berkenaan, selain mendakwa kepentingan Malaysia seolah-olah telah dikompromi.

​”Elok-elok saja keluar daripada kenderaan, kedua-dua pihak menandatangani satu perjanjian timbal balik kononnya. Tetapi kita tahu sekarang, perjanjian itu sangat berat sebelah, merugikan negara Malaysia dan menguntungkan Amerika Syarikat.

​”Saya kira ada sesuatu perkara yang telah dibincang secara berdua-duaan di belakang kereta tersebut yang menyebabkan Perdana Menteri sanggup menjual kepentingan negara kita kepada Amerika Syarikat yang boleh kita anggap sebagai musuh kita,” dakwanya lagi.

​Sehubungan itu, Mukhriz menegaskan dalam mendepani situasi geopolitik dunia yang semakin bergolak ketika ini, Malaysia amat memerlukan barisan kepimpinan yang mempunyai jati diri yang kukuh serta berwibawa bagi mempertahankan kedaulatan tanah air.

​”Adakah ini jenis kerajaan yang kita nak mentadbir dan memimpin negara kita? Sudah tentu tidak.

​”Dalam keadaan macam ini, adalah lebih penting untuk kita memastikan siapa juga yang kita pilih untuk menjadi wakil rakyat sampai boleh menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri, mestilah orang yang berwibawa, yang kita percaya ikhlas hendak melindungi serta mempertahankan kepentingan negara dan rakyat,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles