Hubungan Bersandarkan ‘Dari Hati Ke Hati’ Lebih Bermakna Berbanding Jaminan Bertulis – Abdul Hadi

​MUAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa keikhlasan dan hubungan ‘dari hati ke hati’ adalah jauh lebih penting dalam jalinan kerjasama politik berbanding sebarang bentuk jaminan bertulis atau perjanjian rasmi.

​Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai ketiadaan jaminan hitam putih berhubung sokongan Pas kepada Barisan Nasional (BN).

​”Tak ada jaminan. Yang penting (kerjasama) dari hati ke hati. Tak ada jaminan pun. Sain (tandatangan) pun, bersumpah pun, kalau tak ada dari hati ke hati, tak ada makna. Yang penting ialah keikhlasan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Grand Finale Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram, malam tadi.

​Mengulas lanjut mengenai strategi Pas di Johor serta kesediaan parti itu untuk menampung sebarang kekurangan, Abdul Hadi menjelaskan bahawa fokus utama Pas adalah untuk memastikan kestabilan kuasa politik Melayu-Islam dan penglibatan bukan Islam yang tidak ekstrem.

​Jelas beliau, sekiranya keputusan pilihan raya menunjukkan kemenangan berpihak kepada kelompok mereka, Pas tidak mempunyai masalah untuk menyokong kepimpinan sedia ada demi kepentingan kestabilan negeri.

​”Jelas, kalau menang di Johor, UMNO jadi Menteri Besar… UMNO lah. Suka UMNO nak lantik Exco orang dia, siapa dia, suka dia.

​”Kalau sekiranya ada kelemahan, Pas boleh tampung kelemahan itu, bergantung pada kerusi yang dimenangi. Mungkin sikit majoriti, nak cukup majoriti, kalau campur dengan Pas dan Pas boleh tampung, kita akan tampung,” katanya lagi.

​Tambah Abdul Hadi, apa yang paling utama adalah pembentukan landskap politik yang inklusif dan seimbang antara kaum tanpa mengetepikan tonggak utama kepimpinan.

​”Yang penting ialah kuasa politik Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem. MCA menang, MIC menang, UMNO juga menang… cukup. Kalau dia dah cukup dah, tak jadi masalah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles