JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang doktor kerana disyaki membunuh isteri dan anak lelaki berusia empat tahun di kediaman mereka di Bandar Dato’ Onn, 31 Dis tahun lepas.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata suspek berusia 33 tahun ditahan pada 3 Jan.
Tempoh reman terhadapnya berakhir esok.
Mangsa yang merupakan akauntan berusia 36 tahun ditemukan dengan kesan kelar pada leher, manakala anaknya dalam keadaan biru pada bahagian muka dipercayai akibat ditekup pada 8.20 pagi 31 Dis.
“Bedah siasat di Hospital Sultan Ismail mendapati punca kematian wanita itu disebabkan ‘asphyxia-related death’, manakala anak lelakinya akibat ‘smothering’ dipercayai berunsurkan jenayah,” menurut kenyataan.
Polis juga merampas sebilah pisau dan satu bantal beserta sarung bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah,” katanya.
Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret esok bawah Seksyen 302, Seksyen 201 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan prosiding mahkamah.










