AYER KEROH: Niat seorang pemuda untuk menyiasat bau busuk yang disangka bangkai haiwan membawa kepada penemuan mengejutkan apabila dipercayai mayat seorang lelaki ditemui di dalam sebuah kereta di kawasan parkir MITC, tengah hari tadi.
Saksi, Khairul Ikhwan Abdol Sham, 24, berkata kejadian itu disedari kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas dia selesai menjamu selera di sebuah restoran berhampiran Perbadanan Melaka (MCORP).
Menurutnya, ketika berjalan ke arah kenderaan yang diparkir berhampiran sebuah kereta jenis Nissan Almera, dia terhidu bau yang sangat menyengat dari arah kenderaan tersebut.
“Pada mulanya saya menyangka bau itu datang daripada bangkai kucing. Saya kemudian menghampiri kereta itu dan dapati tayarnya sudah pancit serta enjin tidak dihidupkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Khairul berkata, dia bercadang untuk meninggalkan nota kepada pemilik kereta bagi memaklumkan keadaan tayar yang pancit.
Namun, ketika menjenguk ke dalam kenderaan, dia ternampak sesuatu yang disangka bantal di tempat duduk pemandu.
“Bila saya perhatikan betul-betul, rupa-rupanya seperti mayat. Kulitnya sudah gelap dan mengeluarkan bau yang kuat, seolah-olah sudah lama meninggal dunia. Kepalanya pula dalam keadaan tertunduk di atas stereng,” katanya.
Tambahnya, dia turut melihat beberapa keping gambar seorang lelaki bersama seorang wanita di dalam kereta tersebut, namun tidak pasti sama ada individu dalam gambar itu adalah mangsa.
Terkejut dengan penemuan itu, Khairul segera menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes tersebut dalam masa terdekat.










