Penganjur Dialog Tetap Teruskan Sesi Tanpa Kehadiran Onn Ghazi

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tidak akan menyertai sesi dialog yang dijadual berlangsung pada Selasa bersama calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik, susulan komitmen rasmi yang telah diatur lebih awal.

Perkara itu dimaklumkan kepada pihak penganjur terdiri daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani dan Sinar Harian, yang kemudian mengesahkan program berkenaan tetap diteruskan seperti dirancang meskipun tanpa kehadiran Menteri Besar Johor itu.

Menurut penganjur, keputusan Onn Hafiz untuk tidak menghadiri sesi tersebut dihormati, manakala usaha sedang dilakukan bagi menjemput panel lain bagi mengisi ruang dialog berkenaan.

Mereka berkata, program itu diteruskan kerana dilihat sebagai platform penting untuk orang ramai mendapatkan penjelasan mengenai pelbagai isu semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Dalam masa sama, pegawai kepada Onn Hafiz turut mencadangkan supaya penganjur menjemput salah seorang calon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa agar perbincangan lebih tertumpu kepada kepentingan dan isu setempat yang dihadapi pengundi.

Maszlee merupakan antara lima calon yang bertanding di DUN Puteri Wangsa bersama calon BN, Teow Chia Ling, Rashifa Aljuneid (Muda), Nicholas Paul Vincent (Bersama) dan calon Bebas, Wang Wee Siong.

Sesi dialog itu diadakan susulan tindakan Maszlee minggu lalu menyahut cabaran seorang pemilik akaun Facebook supaya beliau berdebat dengan Onn Hafiz.

Bagaimanapun, Onn Hafiz sebelum ini menolak cadangan berdebat secara terbuka dengan alasan pendekatan sedemikian bukan budaya politik atau “cara Johor” dalam membincangkan perbezaan pandangan.

BBerkaitan

Latest articles