Sokongan PAS Bukan Petanda Kerjasama Baharu

TANGKAK: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sokongan yang diberikan PAS kepada calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petanda wujudnya kerjasama politik antara kedua-dua parti selepas pilihan raya.

Beliau berkata, BN menghargai pendirian PAS yang mengarahkan ahlinya menyokong calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN), termasuk calon daripada MCA dan MIC, namun perkara itu tidak membawa sebarang implikasi terhadap hubungan politik antara UMNO dan PAS pada masa hadapan.

“Kita menghargai sokongan daripada kepimpinan PAS. Namun, kita tidak menganggap sokongan itu akan mempengaruhi sebarang bentuk kerjasama yang akan atau telah diwujudkan antara UMNO dan PAS.

“Kita menghormati pendirian mereka dan berharap sokongan itu benar-benar diterjemahkan melalui undi pada 11 Julai nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Cina di Medan Selera Tangkak Jaya, pada Ahad.

Kenyataan itu mengulas arahan PAS kepada ahli serta penyokongnya supaya mengundi calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC di kawasan yang tidak ditandingi PN sebagai usaha menghalang Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, daripada membentuk kerajaan negeri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata arahan tersebut meliputi semua calon BN, termasuk calon bukan Melayu yang mewakili parti komponen gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mendakwa sokongan masyarakat bukan Melayu, khususnya pengundi Cina, terhadap BN menunjukkan peningkatan sepanjang kempen PRN Johor.

Menurutnya, walaupun BN meletakkan calon yang dianggap sebagai underdog di beberapa kawasan majoriti pengundi Cina, maklum balas yang diterima daripada pengundi memberi keyakinan bahawa gabungan itu berpeluang mencatat keputusan lebih baik.

“Gelombang sokongan pengundi Cina kepada BN semakin meningkat. Mereka melihat prestasi wakil rakyat terdahulu tidak memenuhi jangkaan, dan ramai yang menyatakan sudah tiba masanya memberi peluang kepada calon BN,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa BN menggunakan isu melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai bahan kempen pilihan raya, Ahmad Zahid menafikan perkara itu.

Beliau menegaskan soal pengampunan diraja adalah bidang kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan tidak mempunyai kaitan dengan kempen PRN Johor.

“Itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Isu itu bukan agenda dalam PRN Johor,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles