Anwar Bidas Penetapan Tarikh PRN Johor Seperti Menyusahkan Rakyat Keluar Mengundi

TANGKAK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang didakwanya sengaja menyusahkan rakyat untuk pulang mengundi.

​Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu seolah-olah mendakwa wujudnya perancangan tersusun pihak tertentu bagi memastikan peratusan keluar mengundi (turnout) kekal rendah, sekali gus memberi kelebihan kepada parti lawan.

​”Saya tahu tidak mudah kerana ini pilihan raya negeri. Kadang-kadang peratusan yang mengundi rendah. Jadi orang-orang kita banyak bekerja di luar, dia tak mahu balik..

​”Kita suruh buat hari Ahad, mereka buat hari Sabtu. Kita buat akhir bulan, saudara-saudara dapat gaji, dia buat awal. Pilihan raya bagi susah orang mengundi! Patut pilihan raya bagi orang senang mengundi. Tapi ini kenyataan,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Harapan di Tangkak, malam tadi.

​Bagaimanapun, Anwar menegaskan taktik menyekat kemahuan rakyat itu tidak akan berjaya sekiranya pengundi mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan demi masa depan negara.

​Tegas beliau, tiada sebarang hari atau kekangan masa yang mampu menghalang gelombang kebangkitan rakyat.

​”If we are smart, we are free, we have the courage, we will still affect the change. (Jika kita bijak, bebas, dan mempunyai keberanian, kita tetap akan membawa perubahan.

​”You buat hari Sabtu, you buat hari Ahad, you buat hari Rabu, you buat hari Jumaat, kalau rakyat bangkit, dia boleh buat keputusan! And I’m telling you, it’s time that we make these changes now, before it’s too late (Dan saya beritahu kamu, inilah masanya untuk kita lakukan perubahan ini sekarang, sebelum terlambat),” ujar beliau lagi.

​Dalam pada itu, Anwar turut menitipkan amaran keras kepada pengundi di Johor mengenai impak jangka panjang sekiranya mereka membiarkan pihak lawan memenangi PRN berkenaan.

​Menurutnya, kemenangan di peringkat negeri akan dijadikan batu loncatan oleh pihak tersebut untuk kembali merampas kuasa di peringkat Pusat menggunakan acuan politik lama mereka.

​”You bagi lepas ini, dia rasa megah, dia kawal (control), kemudian dia nak atur semua ini di negeri lain, dan dia rasa dia boleh ambil balik Kerajaan Persekutuan seperti mana dulu.

​”Good luck to Malaysia (Semoga berjaya Malaysia). If you want to stop it, stop from Johor! (Jika kamu mahu menghentikannya, hentikannya dari Johor!)” tegas Perdana Menteri disambut sorakan gemuruh para penyokong yang hadir.

BBerkaitan

Latest articles