JOHOR BAHRU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mendakwa tidak mahu duduk semeja dengan DAP sebagai sekadar naratif politik untuk memancing sokongan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, pendirian itu bercanggah dengan realiti semasa memandangkan UMNO masih menjalinkan kerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan di beberapa negeri, termasuk Pahang dan Perak.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, di Pahang misalnya, DAP terus memberikan sokongan kepada pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui UMNO, sekali gus membolehkan Menteri Besar daripada parti itu terus mentadbir.
“Dalam kempen di Johor dikatakan jika bersama DAP, beliau sanggup tidak menjadi Menteri Besar. Namun hakikatnya di Pahang, Menteri Besar daripada UMNO kekal memegang jawatan dengan sokongan DAP.
“Rakyat Johor tidak sepatutnya diperdaya dengan naratif seperti ini,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Johor Ke Depan: Undi Harapan PRN Johor di pekarangan Pasaraya Jiason, Masai, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Naib Presiden Amanah, Dr Mohd Hatta Md Ramli.
Mohamad berkata, sekiranya DAP benar-benar tidak boleh bekerjasama dengan UMNO, parti itu sudah tentu menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri di Pahang dan Perak.
Beliau mendakwa isu hubungan dengan DAP sengaja dimainkan ketika musim pilihan raya bagi meraih sokongan orang Melayu, sedangkan kerjasama antara kedua-dua parti tetap diteruskan di beberapa negeri lain.
Sebagai contoh, katanya, DAP turut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Melaka walaupun jawatan Ketua Menteri disandang wakil UMNO.
“Isu kaum kadang-kadang dijadikan modal politik untuk mendapatkan undi, bukannya berasaskan integriti atau prinsip sebenar,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamad menegaskan kerjasama dalam PH tidak dipengaruhi sentimen perkauman kerana parti-parti komponennya memberi keutamaan kepada kebolehan calon tanpa mengira kaum.
Beliau berkata, pendekatan itu dapat dilihat apabila DAP mempertaruhkan calon Melayu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, manakala Amanah pula meletakkan calon berbangsa Cina di DUN Permas.










