KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil secara sinis mencadangkan Menteri Besar Selangor, barisan exco dan penyokong kerajaan negeri supaya berpindah dan tinggal di kawasan berhampiran ladang babi di Bukit Tagar yang kini menjadi isu kontroversi.
Menurutnya, hanya dengan cara itu barulah kepimpinan negeri dapat merasai sendiri keresahan penduduk yang membantah rancangan menjadikan Selangor sebagai pengeksport babi terbesar ke Singapura.
“Bila sudah tinggal di situ, barulah boleh cakap ladang babi ini kononnya selamat dan bersih untuk penduduk. Taatlah kepada titah DYMM Sultan Selangor.
“Kalau Singapura mahu import babi besar-besaran, ambillah dari negara lain, bukan dari negara yang majoriti rakyatnya umat Islam,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Isham menegaskan, Datuk Amirudin Shari sebagai Menteri Besar sepatutnya mempertahankan hak dan kebajikan rakyat Selangor daripada risiko pencemaran, bukannya menyokong pelan yang membebankan penduduk.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, kebimbangan itu timbul khususnya apabila perancangan berkenaan berkemungkinan melibatkan pembangunan ladang babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Susulan itu, Amirudin dilaporkan berkata Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor akan menghadap Sultan Selangor pada Isnin bagi menyembah maklum serta membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan operasi industri penternakan babi di kawasan tersebut.










