KUALA TERENGGANU: Sebanyak 14 ajaran yang telah difatwa sebagai sesat dikenal pasti masih aktif di negara ini dan kini berada dalam pemantauan rapi pihak berkuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha membanteras ajaran sesat tidak boleh digalas kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak.
Menurut beliau, kerjasama masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta institusi berkaitan amat penting bagi mengekang penyebaran fahaman menyimpang yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.
Pada masa sama, kerajaan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa agama di peringkat persekutuan serta negeri bagi memastikan setiap tindakan diambil berlandaskan undang-undang sedia ada.
“Kita mahu setiap langkah yang diambil tepat dengan hukum dan peruntukan undang-undang, adil serta tidak bercanggah dengan prinsip keadilan. Dalam masa yang sama, usaha pencerahan kepada masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat perlu diperkasakan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan bantuan banjir, hari ini.
Zulkifli berkata, sejarah membuktikan ajaran sesat tidak pernah lenyap sepenuhnya, sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat.
Katanya, kemunculan media sosial turut menjadi cabaran baharu apabila fahaman songsang lebih mudah disebarkan tanpa kawalan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pelbagai program pencerahan terus dilaksanakan secara berterusan, termasuk melalui peranan jabatan mufti, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang ciri-ciri ajaran sesat.
Tegasnya, usaha itu bukan sekadar untuk mengekang fahaman menyimpang, tetapi lebih penting bagi memastikan ajaran Islam yang sebenar difahami dan diamalkan.
“Sasaran kita ialah memastikan Malaysia terus menjadi contoh negara Islam yang sederhana, progresif dan damai, dengan akidah umatnya terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata sebanyak 154 ajaran telah difatwa sesat sejak 1950 hingga kini, dengan 14 daripadanya dikenal pasti masih aktif.
Antara ajaran berkenaan termasuk Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.










