’
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, enggan menyahut cabaran berdebat dengan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, kerana bimbang berdepan secara terbuka.
Menurut Puad, alasan bahawa budaya politik Johor tidak sesuai dengan amalan debat tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk menolak cadangan tersebut.
Sebaliknya, beliau berpendapat perdebatan mampu menjadi platform terbaik bagi pemimpin menjelaskan hujah, mempertahankan dasar serta membolehkan rakyat menilai sendiri kemampuan dan tawaran setiap pihak.
Malah, beliau menyindir bahawa sekiranya Onn Hafiz tidak bersedia tampil, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, boleh dihantar sebagai wakil.
“Kalau takut Onn Hafiz boleh hantar Dr Akmal Saleh sebagai wakil. Dia memang berani, cuma berani tidak bertempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Cadangan debat itu tercetus selepas Maszlee menyatakan kesediaannya untuk berdepan Onn Hafiz menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan saranan yang dikemukakan oleh halaman Facebook WOW Malaysia.
Semalam, Onn Hafiz dilaporkan menegaskan bahawa debat terbuka bukan pendekatan yang sesuai kerana dikhuatiri boleh mencetuskan suasana politik yang kurang harmoni.
Dalam masa sama, Puad turut mengimbas pengalamannya ketika menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi penggal 2022 hingga 2026 dengan mendakwa Onn Hafiz pernah menunjukkan kecenderungan mengehadkan ruang perbahasan di dewan.
Beliau mendakwa Menteri Besar Johor itu pernah tidak bersetuju supaya perbahasan Enakmen Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan dibuka kepada dua wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang, walaupun pentadbiran ketika itu memiliki majoriti dua pertiga.
Selain itu, Puad turut mendakwa Onn Hafiz beberapa kali memohon supaya tempoh sesi soal jawab lisan dan perbahasan dipendekkan, namun beliau sebagai Speaker tidak meluluskan permintaan tersebut.
“Saya kata tidak boleh. Tidak adil kepada YB yang menyediakan soalan. Ia juga merendahkan martabat DUN kerana nadi dewan ialah soalan lisan daripada wakil rakyat,” dakwanya.
Dalam kenyataannya, Puad turut mencabar Onn Hafiz untuk berdebat dengannya sekiranya tidak bersedia bersemuka dengan Maszlee.
“Kalau tidak berani dengan Dr Maszlee, berdebat dengan saya pun ok juga,” katanya.










