CIKARANG: Mondy Tatto, wanita yang pernah menjadi perhatian umum selepas dikaitkan dengan program dakwah pendakwah terkenal, Ebit Lew, sekali lagi menjadi tumpuan apabila namanya dikaitkan dalam satu kes pembunuhan dipercayai bermotifkan cinta tiga segi di Cikarang, Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, pertengkaran antara dua lelaki dipercayai tercetus akibat konflik percintaan sebelum berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas ditikam beberapa kali.
Mangsa dilaporkan mengalami beberapa kesan tikaman pada bahagian dada dan perut sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Suspek yang melarikan diri sejurus insiden itu bagaimanapun berjaya ditahan polis untuk membantu siasatan.
Menurut penduduk setempat, mangsa dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan wanita dikenali sebagai Dita Restu Amanda atau Mondy Tatto, manakala suspek pula didakwa turut menyimpan perasaan terhadap wanita berkenaan.
Situasi itu dikatakan mencetuskan beberapa perselisihan faham akibat cemburu sebelum berlaku insiden berdarah tersebut, namun polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Dalam perkembangan sama, tular di media sosial beberapa gambar menunjukkan Mondy dibawa ke balai polis dengan kedua-dua tangannya diikat menggunakan cable tie.
Menurut laporan, beliau dipanggil bagi membantu siasatan sebagai saksi kejadian dan bukannya sebagai suspek.
Nama Mondy sebelum ini pernah menjadi perhatian di Malaysia selepas terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan pendakwah Ebit Lew.
Mahkamah sebelum ini dilaporkan memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM20,000 berhubung satu saman fitnah.
Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta hubungan semua individu yang terlibat.










