PM Didakwa Dihalang Guna Kemudahan Kerajaan Johor, PKR Persoal Unsur Politik

SEGAMAT: Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdepan layanan yang kurang menyenangkan apabila dikatakan tidak dibenarkan menggunakan sebuah kemudahan milik kerajaan negeri Johor bagi menghadiri program bersama rakyat di Muar.

Menurut Kamil yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, program yang dijadualkan berlangsung di sebuah pusat komuniti di Sungai Balang kira-kira dua minggu lalu bertujuan menghimpunkan nelayan, petani, usahawan, pendidik serta golongan belia untuk sesi dialog bersama Anwar.

Bagaimanapun, beliau mendakwa pihak penganjur dimaklumkan oleh pejabat daerah pada saat akhir bahawa lokasi berkenaan tidak boleh digunakan, menyebabkan program terpaksa dipindahkan ke sebuah jeti berhampiran dengan bantuan pihak berkuasa perikanan.

Berucap pada satu ceramah di Segamat malam tadi, Kamil mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak dibenarkan menggunakan kemudahan kerajaan negeri sedangkan kehadiran beliau hanyalah untuk bertemu rakyat pelbagai lapisan.

“Apakah masalah sebenar sehingga kemudahan kerajaan negeri tidak boleh digunakan? Adakah terdapat unsur politik di sebalik keputusan itu?” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, lebih mengutamakan pertimbangan politik berbanding semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Kamil berkata, sejak Anwar menerajui kerajaan pada November 2022, Johor merupakan antara negeri yang menerima keutamaan dalam agenda pembangunan negara dengan peruntukan pembangunan mencecah RM39.1 bilion.

Menurutnya, jumlah itu menjadikan Johor sebagai penerima dana pembangunan ketiga tertinggi selepas Sabah dan Sarawak.

Beliau menjelaskan pelbagai projek berskala besar telah dilaksanakan di negeri itu, termasuk pembinaan hospital dan klinik kerajaan, institusi pendidikan, perkhidmatan ETS, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link), lebuh raya serta pelbagai projek infrastruktur lain.

Selain itu, katanya, Johor juga merekodkan jumlah penerima kedua tertinggi bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Semua ini merupakan sumbangan kerajaan Persekutuan kepada rakyat Johor. Namun apabila Perdana Menteri sendiri ingin turun bertemu rakyat, beliau pula didakwa tidak dibenarkan menggunakan kemudahan kerajaan negeri,” katanya.

Minggu lalu, Onn Hafiz pula mendakwa beliau dihalang memasuki sebuah penempatan Felda di Kluang untuk menghadiri satu program sehingga majlis itu dipindahkan ke dewan orang ramai.

Bagaimanapun, Anwar menafikan pernah mengeluarkan sebarang arahan supaya Menteri Besar Johor itu dihalang daripada menghadiri program berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles