MARA Tempatkan Bekas Tentera Sebagai Warden Sepenuh Masa Di MRSM, Perkukuh Disiplin, Banteras Buli

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mula menempatkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden sepenuh masa di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih bermula 1 Julai ini, dalam usaha memperketat disiplin pelajar serta membendung gejala buli di institusi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seramai 16 bekas anggota tentera akan melaporkan diri pada fasa pertama pelaksanaan, yang merupakan kesinambungan projek rintis di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau sejak 18 Oktober tahun lalu.

Menurut beliau, antara MRSM yang terlibat ialah MRSM Muar di Johor, dengan setiap institusi bakal mempunyai empat warden sepenuh masa terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

“Mulai 1 Julai ini, warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera akan mula bertugas di lapan MRSM terpilih termasuk MRSM Muar. Sasaran kita ialah menempatkan empat warden di setiap MRSM bagi memperkukuhkan disiplin pelajar dan memastikan persekitaran asrama lebih selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, daripada keperluan keseluruhan 32 warden bagi lapan MRSM terbabit, hanya 16 warden lelaki akan memulakan tugas terlebih dahulu, manakala pelantikan warden wanita akan dibuat sebaik proses saringan selesai.

Asyraf berkata, pelaksanaan di semua 58 MRSM di seluruh negara dijadual bermula pada 1 Januari 2027.

Beliau berharap langkah berkenaan mampu mengekang kejadian buli selain membentuk budaya disiplin yang lebih mantap dalam kalangan pelajar.

Katanya, proses pemilihan calon dikendalikan oleh anak syarikat MARA, Glokal Link Sdn. Bhd. (GLSB), dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp dan Seksyen Psikologi serta Kaunseling ATM.

Seramai 147 calon menghadiri temu duga fizikal yang diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Kepong pada 15 dan 16 Jun lalu, termasuk 139 calon lelaki.

Menurutnya, pemilihan bukan hanya bergantung kepada temu duga, sebaliknya setiap calon perlu melalui pelbagai tapisan ketat termasuk ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), ujian kecergasan bleep test serta temu duga panel melibatkan beberapa agensi.

Katanya, penilaian psikologi turut memberi perhatian kepada aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, integriti, batas profesional serta risiko salah laku seksual bagi memastikan hanya individu benar-benar layak dipilih.

Beliau turut memaklumkan semua calon telah menjalani tapisan awal oleh JHEV dan TalentCorp bagi memastikan mereka menamatkan perkhidmatan tentera secara terhormat serta bebas daripada sebarang rekod salah laku atau pelanggaran undang-undang.

Selain itu, GLSB turut menjalankan semakan prapelantikan termasuk rekod jenayah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta semakan disiplin sebelum sebarang surat tawaran dikeluarkan.

“Calon akhir juga perlu menjalani penilaian bersama pegawai psikologi atau kaunselor ATM termasuk komponen biofeedback bagi menilai kesesuaian mereka mengendalikan pelajar asrama.

“Tiada surat tawaran akan dikeluarkan selagi semua tapisan belum disempurnakan. Hanya calon yang benar-benar bersih, berintegriti dan sesuai menjaga pelajar MRSM akan dilantik,” katanya.

Sementara itu, bagi pengambilan warden wanita, Asyraf berkata sebanyak 162 permohonan diterima dengan ujian secara dalam talian telah diadakan pada 25 Jun lalu, manakala temu duga fizikal dijadual berlangsung pada 2 Julai sebelum proses pelantikan dimuktamadkan.

BBerkaitan

Latest articles