PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan cadangan penyelarasan pakaian seragam sekolah masih di peringkat kajian dan belum dimuktamadkan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap pelbagai aspek berkaitan.
Menurut beliau, kajian itu mengambil kira kesan kepada murid, ibu bapa serta pihak sekolah sebelum sebarang pelaksanaan diputuskan.
Katanya, keputusan muktamad hanya dijangka dibuat bagi tujuan pelaksanaan pada Sesi Persekolahan Tahun 2027, sekiranya dipersetujui.
Dalam pada itu, Dr. Mohd Azam menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap pakaian seragam sekolah bagi sesi persekolahan tahun 2026.
Penjelasan itu, katanya, bagi meredakan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta masyarakat susulan pelbagai spekulasi yang tular.
Beliau turut memberi jaminan KPM akan memaklumkan lebih awal sebarang keputusan berkaitan penyelarasan pakaian seragam kepada semua pihak berkepentingan supaya persediaan mencukupi dapat dibuat.
Pada masa sama, kementerian kekal komited memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira kebajikan murid dan kemampuan kewangan ibu bapa.
Mengulas tujuan cadangan tersebut, KPM menjelaskan penyelarasan pakaian seragam berhasrat memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang, selain berpotensi mengurangkan beban kos persekolahan yang ditanggung ibu bapa.










