Muhyiddin: Lepas Jawatan PN Bukan Lemah, Fokus Kukuhkan Bersatu

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai presiden, meskipun tidak lagi memimpin Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, keputusan berundur daripada jawatan dalam gabungan itu bukan satu kelemahan, sebaliknya langkah strategik demi memperkukuh kedudukan parti menghadapi cabaran politik semasa.

Dalam perutusan Tahun Baharu hari ini, Muhyiddin berkata Bersatu akan terus kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN, sambil menegaskan kerjasama dalam gabungan itu tetap dipelihara bagi menjamin kestabilan serta kekuatan politik bersama.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kelangsungan dan masa depan parti melalui penyusunan semula kepimpinan serta pengukuhan asas perjuangan.

Beliau turut menyeru seluruh ahli Bersatu supaya kekal beristiqamah, berdisiplin dan mengamalkan budaya saling menghormati dalam parti.

Muhyiddin menekankan sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara matang, berhemah dan tertutup agar tidak menjejaskan kepentingan parti.

Sempena tahun baharu, beliau mengajak semua ahli Bersatu untuk memperkukuh kerjasama, mempererat perpaduan serta menutup segala ruang perpecahan demi memastikan parti terus kuat dan relevan dalam landskap politik negara.

BBerkaitan

Latest articles