UMNO Umum Kepimpinan Baharu Sabah, Jafry Dilantik Pengerusi

KUALA LUMPUR: UMNO mengumumkan pelantikan barisan kepimpinan baharu Badan Perhubungan UMNO Sabah bagi memastikan kesinambungan pentadbiran parti selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO, telah bersetuju melantik Datuk Jafry Ariffin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.

Pelantikan turut melibatkan Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Timbalan Pengerusi serta Samasuddin Yusop sebagai Setiausaha.

Menurut kenyataan parti, rombakan ini dibuat bagi memastikan UMNO Sabah dapat beroperasi dengan lebih tersusun dan berkesan, selain memperkukuh penyelarasan gerak kerja parti di negeri itu.

Ia juga bagi memastikan kesinambungan kepimpinan selepas kekosongan besar ditinggalkan Allahyarham Bung Moktar, yang memimpin UMNO Sabah selama bertahun-tahun sebelum meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan.

Pemergian Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan tokoh penting UMNO Sabah memerlukan parti menyusun semula organisasi negeri bagi menghadapi cabaran politik semasa serta persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

UMNO dalam kenyataannya menyeru seluruh pimpinan dan ahli parti agar memberi sokongan padu kepada kepimpinan baharu itu bagi memastikan perjuangan UMNO di Sabah terus terpelihara dan parti dapat meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat serta mendokong kerajaan negeri.

BBerkaitan

Latest articles