Tragedi Ketika Bermain: Remaja 14 Tahun Tertembak Ketika Main Sembunyi-Sembunyi

KENINGAU: Kegembiraan bermain bersama rakan bertukar tragedi apabila seorang pelajar tingkatan dua maut selepas terkena tembakan dari senapang buatan sendiri (bakakuk) dalam kejadian di halaman sebuah rumah, semalam.

Insiden kira-kira jam 8 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 14 tahun sedang bermain bersama rakannya di bawah kolong rumah.

Mangsa rebah selepas terkena tembakan dari jarak lebih kurang tiga meter, dipercayai dilepaskan secara tidak sengaja.

Penduduk kampung kemudian bergegas membawa remaja itu ke Hospital Keningau, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Yampil Anak Garai, berkata siasatan awal mendapati rakan mangsa melihat remaja itu memegang senjata terbabit sebelum meminta untuk bergurau.

“Ketika mereka bermain sembunyi-sembunyi, suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu sehingga tembakan mengenai mangsa,” katanya.

Panik dengan kejadian, suspek segera meminta pertolongan daripada penduduk kampung yang melalui kawasan itu. Pemeriksaan doktor kemudian menemui 14 kesan tembakan pada tubuh mangsa termasuk pada dada, lengan, lutut dan sisi kiri badan.

Polis turut menemui senjata tersebut yang disembunyikan oleh adik suspek, manakala siasatan mendapati pemilik bakakuk itu adalah bapa mereka berusia 70 tahun.

Ketiga-tiga mereka kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles