Anwar Kesal Tindakan Sebahagian Rakan Politik “Tak Sabar” Mahu Rebut Kuasa

​SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan sebahagian rakan politik yang disifatkannya sebagai ‘tidak sabar’ kerana cuba mencetuskan pergolakan demi merebut kuasa pentadbiran negeri.

​Perdana Menteri berkata, beliau terkilan apabila ada pihak yang masih mahu merancang gerakan menumbangkan kerajaan sedia ada, sedangkan tempoh mandat bagi DUN seperti di Negeri Sembilan dan Johor masih berbaki.

Dalam masa yang sama Anwar turut mempersoalkan motif sebenar gerakan tersebut memandangkan tiada sebarang isu membabitkan masalah tatakelola mahupun salah guna kuasa yang dikesan di bawah kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

​”Tak sampai tiga tahun lagi Negeri Sembilan. Di Johor dekat setahun lagi untuk pilihan raya. Sabarlah sekejap. Lepas tu adalah pilihan raya. Tidak, hendak juga. Yakin boleh tumbangkan… Ya, tak sabar.

​”Sebab apa? Tanah mana yang Tok Min curi? Projek balak mana yang dia ambil? Maknanya, bagi mereka, bukan masalah rakyat, bukan masalah tatakelola. Ada saja ruang peluang nak rampas, rampas. Ini sahabat apa begini?” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Karisma Arena, Seremban, malam tadi.

​Mengulas lanjut, Anwar mengakui sebagai pemimpin yang mengemudi negara, beliau adakalanya berasa menyampah dengan sikap hipokrit segelintir politikus yang sering menggunakan retorik “membela nasib rakyat” tetapi sebaliknya sibuk mengatur khianat politik.

​”Cakap bela rakyat, cakap jaga rakyat, cakap perpaduan tapi khianat kita, khianat jatuhkan. Saya tak dengar bila nak jaga rakyat betul-betul? Kamu pedulikah bagaimana rakyat nak makan ada atau tidak? Menyampah aku,” luah beliau lagi.

​​Tegas Anwar, beliau memilih untuk bersabar dan bertolak ansur dengan rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan termasuk UMNO, kerana sedar hanya kestabilan politik yang mampu menarik keyakinan pelabur asing ke Malaysia.

​”Jadi kita runding dengan baik… Saya lakukan dengan sebaik mungkin. Not perfect, banyak masalah, but we listen. Kita compromise. Kadang-kadang saya tak setuju, tak apalah, nak jaga Kerajaan Perpaduan ini. Kita sabar. Sebab apa? Sebab politik yang stabil ini menyebabkan pelabur datang,” jelas beliau.

BBerkaitan

Latest articles