SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan parti itu tidak akan bersikap tamak dan memilih untuk mengekalkan strategi mempertahankan 11 kerusi penyandang sedia ada dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang tuntutan atau rundingan bagi penambahan kerusi baharu dibuat oleh DAP, sekali gus menyerahkan urusan baki agihan kerusi lain kepada parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.
”Malam ini saya nak isytiharkan, DAP tak tamak. Kita hanya pertahankan 11 kerusi penyandang kita di Negeri Sembilan.
”Saya tak perlu berunding pun dengan Datuk Seri Saifuddin (Nasution) dah… DAP kekal lawan, pertahankan 11 kerusi yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Karisma Arena, Seremban, malam ini.
Mengulas lanjut, Loke memberi jaminan bahawa kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP yang bakal memenangi kerusi tersebut akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Menteri Besar sedia ada.
Jelas beliau, mandat dan undi daripada wakil rakyat DAP itu adalah bagi memastikan Datuk Seri Aminuddin Harun kembali menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
”Kita akan berusaha kekalkan 11 kerusi ini. 11 undi ADUN daripada DAP akan menyokong Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar,” tegas beliau.










