Jangan Tunggu UMNO, MCA Perlu Tentukan Nasib Sendiri Dalam BN Sekarang

KUALA LUMPUR: Kepimpinan MCA digesa segera membuat keputusan muktamad mengenai kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) tanpa terus menunggu pendirian rasmi UMNO terhadap kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU16.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, menegaskan bahawa UMNO sudah jelas mahu meneruskan kerjasama dengan PH termasuk DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau mendakwa MCA hanya mencari alasan untuk meninggalkan BN, terutama selepas parti itu meluluskan resolusi menolak sebarang kerjasama dengan DAP serta membuka ruang untuk bergerak sendiri pada PRU16.

Menurut Puad, MCA mungkin melihat peluang untuk meraih kembali sokongan pengundi Cina selepas kekalahan mengejut DAP pada PRN Sabah baru-baru ini, yang menyaksikan komuniti itu beralih menyokong Warisan.

“Peluang semakin terbuka. MCA mahu bersaing dengan DAP untuk rebut sokongan Cina, sebab itu mereka beri alasan mahu keluar BN. Umno tak terkesan dengan resolusi itu. Kami tetap bertanding guna logo BN, sambil kekal bekerjasama dengan PH pada PRU16,” katanya kepada FMT.

Beliau turut meramalkan MCA akan menjadi lebih vokal dalam mengangkat isu masyarakat Cina, sementara DAP pula dijangka memainkan peranan seperti kumpulan pendesak dalam kerajaan perpaduan.

Perhimpunan Agung MCA hari ini meluluskan resolusi menolak apa-apa bentuk kerjasama dengan DAP dan bersetuju parti menentukan haluan sendiri jika komponen BN lain terus bertegas mahu bekerjasama dengan parti itu, sambil menegaskan “semangat BN sudah mati”.

Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu tetap berhasrat meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU16 walaupun wujud desakan agar BN bergerak sendirian.

Dalam masa sama, satu lagi parti komponen, MIC, juga dilaporkan berada di persimpangan, termasuk pernah mengadakan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kemungkinan penyertaan.

BBerkaitan

Latest articles