KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, tampil menyerang balas DAP dengan mendakwa parti itu sering menjadikan MCA sebagai kambing hitam setiap kali timbul isu dasar kerajaan yang membebankan rakyat.
Berucap pada Perhimpunan Agung Pusat MCA Ke-30 di Wisma MCA, Wee berkata DAP lazimnya menuding jari ke arah dirinya dan parti itu bagi menutup kelemahan sendiri, namun akhirnya kerajaan tetap menerima cadangan yang dibawa oleh MCA.
“Setiap kali ada masalah, naratif mereka sama, semuanya salah MCA, semuanya salah Wee Ka Siong. Tetapi apabila kita bentangkan fakta, dasar kerajaan diperbetulkan,” katanya diiringi tepukan perwakilan.
Beliau memberi contoh isu e-invois yang pada mulanya ditentang keras oleh DAP hingga MCA digelar pengkhianat.
Namun kerajaan kemudian menaikkan ambang pengecualian kepada RM1 juta, selari dengan cadangan MCA.
Wee turut menyentuh beberapa isu lain termasuk penentangan MCA terhadap penggunaan LPG komersial untuk penjaja kecil, kebimbangan mengenai implikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS (ART) serta isu kemasukan matrikulasi pelajar 10A, yang semuanya mencetuskan serangan terhadap parti itu sebelum kerajaan akhirnya mengubah dasar.
“Apabila orang lain suarakan kebimbangan yang sama, DAP jadi senyap. Jadi siapa sebenarnya yang mengelirukan rakyat?” soal Wee.
Beliau mendakwa serangan bertali arus pemimpin DAP bukan kerana MCA membuat dakwaan palsu, tetapi kerana parti itu bimbang MCA terus membongkar percanggahan keputusan kerajaan.
Wee turut menegaskan MCA tidak akan berdiam diri walaupun berada dalam blok kerajaan perpaduan.
“Apabila dasar baik, kita sokong. Bila dasar menyusahkan rakyat, kita bersuara. Lebih baik jadi jurucakap rakyat daripada tunduk membuta tuli,” tegasnya.










