Guru Wanita Dakwa Dipukul Suami, Larikan Diri Ketika Buang Sampah

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita berusia 26 tahun berdepan detik mencemaskan apabila mendakwa dipukul suaminya dalam kejadian di Salak Selatan sebelum berjaya melarikan diri dengan bantuan ahli keluarga.

Dalam laporan polis yang diterima pada 5 Disember lalu sekitar jam 12.20 tengah hari, mangsa memaklumkan dia terpaksa memberi alasan mahu membuang sampah untuk keluar dari rumah selepas bimbang terus menjadi mangsa serangan.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mangsa kemudian melarikan diri bersama abangnya, namun mereka terserempak dengan suspek yang kemudiannya mengejar sehingga ke Jalan Kampung Pasir Pantai Dalam.

“Suspek bertindak melanggar bahagian belakang kereta abang mangsa sebanyak dua kali, menyebabkan kenderaan itu hampir terbabas sebelum mereka berjaya meloloskan diri di Lebuhraya SPE,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi tindakan lanjut.

Polis sedang meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan menjejaki suspek.

BBerkaitan

Latest articles