PM Umum Pemantauan Bulanan Projek Sabah, Jamin Tiada Lagi Penangguhan

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan pemantauan bulanan terhadap semua projek air, elektrik, jalan raya dan infrastruktur kritikal di negeri itu bermula Januari depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan baharu itu penting bagi memastikan isu asas seperti bekalan air, elektrik dan keadaan jalan yang masih belum memuaskan dapat ditangani segera tanpa lagi berdepan kelewatan projek.

Beliau berkata, pemantauan tersebut akan meliputi projek di bawah kedua-dua kerajaan, termasuk pembaikan sekolah, infrastruktur kampung, Pan Borneo serta kerja naik taraf lain yang dianggap kritikal.

“Mulai Januari, kita pantau setiap projek bersama kerajaan negeri setiap bulan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Sabah di SICC, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kepimpinan negeri.

Anwar menegaskan bahawa sistem pemantauan bersama yang turut melibatkan pegawai daerah serta agensi pembangunan negeri dan persekutuan itu akan memastikan ratusan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

Beliau turut mengarahkan agar tiada lagi penangguhan dalam proses kelulusan projek persekutuan di Sabah, sebagai tanda komitmen kerajaan untuk memastikan setiap pengumuman pembangunan diterjemahkan kepada tindakan nyata.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, lawatannya selama dua hari ke Sabah sempena PRN memberi ruang untuk menilai keadaan di lapangan serta bertemu pelbagai tokoh tempatan.

Katanya, keputusan untuk hadir sejurus selepas PRN dibuat bagi menepis persepsi bahawa ahli politik hanya turun padang ketika berkempen tetapi menghilang selepas menang.

Beliau menegaskan kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan sejak awal dengan terus melaksanakan amanah rakyat tanpa berlengah.

BBerkaitan

Latest articles