KUCHING: Warga emas buta yang kisahnya tular selepas terpaksa merangkak keluar dari rumah untuk mendapatkan pertolongan susulan kematian anak perempuannya kini ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemeriksaan kesihatan serta beberapa prosedur lanjut sedang diselesaikan bagi memastikan wanita berkenaan menerima rawatan dan penjagaan sewajarnya.
Beliau menjelaskan bahawa penempatan di RSK merupakan pilihan terbaik kerana warga emas itu hidup bersendirian dan tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang tampil mengambil tanggungjawab.
“Jika ada waris, sudah tentu mereka akan menuntutnya. Setakat ini, tiada sesiapa tampil,” katanya ketika ditemui pada Festival Nyamai Sarawak Gastronomy 2025 di Kampung Budaya Sarawak.
Nancy turut menceritakan bahawa wanita tersebut terpaksa merangkak kira-kira 150 meter ke jalan raya kerana kediamannya terletak jauh daripada penempatan penduduk lain.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas beliau menyedari anak perempuannya telah meninggal dunia beberapa hari sehingga mayatnya berada dalam keadaan mereput dan mengeluarkan bau kuat.
Menurut Nancy, insiden menyayat hati itu seharusnya membuka mata masyarakat tentang pentingnya keprihatinan terhadap jiran dan penduduk sekampung, terutama mereka yang tinggal bersendirian, uzur atau mempunyai masalah kesihatan.
Beliau menegaskan bahawa ketua kampung serta sukarelawan komuniti perlu menjadi “mata dan telinga” kepada agensi kebajikan bagi memastikan tiada individu terpinggir.
Nancy turut menggesa mana-mana keluarga yang berdepan kesukaran menjaga warga emas atau orang kurang upaya supaya segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan.
“Kerajaan menyediakan banyak kemudahan. Yang penting, masyarakat tahu ke mana mereka boleh meminta pertolongan,” katanya.










