MUAR: Sebuah sekolah menengah Cina di Muar mengambil tindakan tegas dengan membuang tiga pelajar lelaki selepas mereka didapati menghasilkan imej lucah deepfake menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) melibatkan rakan sekelas perempuan.
Laporan China Press menyebut, beberapa imej yang diubah suai itu turut tersebar di internet, sehingga mendorong sekurang-kurangnya dua pelajar perempuan tampil membuat laporan polis selepas menyedari wajah mereka digunakan dalam kandungan tersebut.
Pengetua Sekolah Menengah Chung Hwa, Chionh Cheong Kang, berkata pihak sekolah segera melancarkan siasatan dalaman sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada Isnin.
Pertemuan turut diadakan bersama ibu bapa semua pelajar terlibat bagi mendapatkan gambaran penuh insiden berkenaan.
Dalam satu kenyataan rasmi, sekolah berkenaan menegaskan bahawa mereka mengamalkan dasar ‘tiada kompromi’ terhadap perlakuan tidak bermoral, lebih-lebih lagi melibatkan eksploitasi digital. Ketiga-tiga pelajar dari Tingkatan 2, 3 dan 4 itu kemudian dibuang sekolah mengikut peraturan disiplin yang ditetapkan.
Pihak sekolah turut menggalakkan mangsa membuat laporan polis serta menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti dalam talian anak-anak, termasuk memastikan sebarang imej tidak wajar dipadam untuk mengelakkan penyalahgunaan.
Menurut laporan, ibu bapa kesemua pelajar terbabit telah menerima keputusan sekolah tanpa bantahan.
Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Azman Aziz mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana penyebaran imej deepfake itu berlaku.










