SPRM Didakwa Rampas Harta Tanpa Senarai Rasmi, Peguam Beri Notis 72 Jam

KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan, Albert Tei, memberi tempoh tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan inventori penuh harta rampasan susulan penahanan suaminya, kata peguam keluarga itu, Rajesh Nagarajan.

Menurutnya, tempoh sama turut diberikan kepada SPRM untuk memulangkan semua barangan yang didakwa dirampas secara tidak sah ketika serbuan dilakukan di kediaman keluarga tersebut.

Rajesh menegaskan bahawa kegagalan SPRM mematuhi tuntutan itu sebelum Rabu akan membawa kepada tindakan undang-undang tanpa sebarang notis lanjut, termasuk memohon semakan kehakiman.

Langkah itu, katanya, bertujuan mendapatkan perintah mandatori supaya semua harta yang ditahan secara tidak sah dikembalikan serta pengisytiharan bahawa prosedur operasi SPRM telah melanggar undang-undang dan Perlembagaan.

Dalam surat bertarikh 30 November dan dihantar melalui firma guaman Tetuan Raj & Sach, Rajesh mendakwa pegawai SPRM memasuki rumah anak guamnya secara paksa sebelum merampas sebuah dekoder kamera litar tertutup (CCTV).

Kandungan telefon milik Albert dan beberapa ahli keluarga turut didakwa dipadam tanpa kebenaran.

Lebih mengejutkan, seorang pegawai didakwa mengacukan senjata api sehingga menimbulkan ketakutan kepada keluarga terbabit.

Peguam itu turut menuduh SPRM gagal menyediakan senarai rampasan, resit atau rekod bertulis pada hari kejadian, dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pelanggaran serius terhadap tanggungjawab statutori.

Katanya lagi, tanpa dokumentasi rasmi, rampasan yang dibuat boleh dianggap sebagai “kecurian” di sisi undang-undang.

Surat berkenaan turut merujuk Seksyen 31 dan Seksyen 34 Akta SPRM 2009 yang mewajibkan pegawai menyediakan inventori terperinci, memberikan salinan kepada pihak berkenaan serta menjelaskan lokasi penyimpanan barang yang dirampas.

Justeru, SPRM diminta menyerahkan senarai penuh item yang dirampas, lengkap dengan tarikh, masa dan identiti pegawai terlibat, selain memulangkan segera barangan yang tidak mempunyai asas undang-undang untuk ditahan.

Peguam itu juga meminta SPRM menjelaskan status anak guam mereka, sama ada Albert diklasifikasikan sebagai saksi, suspek atau sekadar membantu siasatan.

Pada 29 November, Mahkamah Majistret Putrajaya telah mengeluarkan perintah reman enam hari terhadap Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

BBerkaitan

Latest articles