KUALA LUMPUR: Cadangan memperuntukkan slot animasi selama satu jam setiap minggu di RTM disifatkan sebagai titik permulaan penting untuk menghidupkan semula industri animasi tempatan termasuk membuka ruang kepada lebih banyak harta intelek (IP) baharu serta mengembalikan karya lama kepada pemilik.
Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Zahrin Zamzuri atau lebih dikenali sebagai Jakall berkata, inisiatif yang diumumkan menerusi sesi libat urus bersama Menteri Komunikasi itu menjadi perkembangan cukup bermakna buat lebih 5,000 penggiat animasi tempatan.
“Adanya satu jam seminggu ini boleh boost balik industri animasi. Ia boleh boost balik IP-IP baharu dan juga boleh keluarkan balik IP-IP lama yang generasi baru ini tak tahu.
“Boleh kata satu jam ini adalah satu permulaan yang sangat baik,” katanya selepas sesi libat urus penggiat animasi bersama Menteri Komunikasi di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil serta Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail.
Menurut Zahrin, slot satu jam seminggu itu berpotensi menampilkan dua siri animasi dalam satu-satu masa dan mampu menghasilkan lebih 98 episod dalam tempoh setahun.
“Kalau berjalan selama setahun, lebih kurang 10 hingga 12 IP boleh dikeluarkan nanti,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui industri animasi tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan cabaran apabila peluang penyiaran di televisyen semakin berkurangan meskipun jumlah bakat baharu terus meningkat.
“Budak-budak yang belajar animasi makin ramai dan mereka perlukan peluang pekerjaan. Jadi ini masanya untuk kita boost balik.
“Kalau ikutkan, kebanyakan animasi yang terkenal di Malaysia asalnya datang daripada RTM. Itu benda yang kita tak boleh pandang ringan,” katanya.
Beliau berkata, banyak karya animasi popular tempatan bermula menerusi platform televisyen sebelum berkembang menjadi jenama besar.
Menurutnya, antara isu lama yang turut dibangkitkan dalam sesi libat urus itu ialah kekangan berkaitan hak harta intelek (IP) yang didakwa menyukarkan syarikat animasi menjana pendapatan tambahan.
“Masalah IP ini ada beberapa kes yang mana TV station mengekang IP yang telah keluar di TV station itu daripada keluar ke tempat lain.
“Menyebabkan syarikat yang hasilkan animasi itu tak dapat buat revenue lain sedangkan kos menghasilkan animasi sangat besar,” katanya.
Beliau bagaimanapun menyambut baik maklum balas daripada pihak RTM yang dilihat bersedia memperhalusi perkara berkenaan.
“Saya boleh katakan sesi libat urus hari ini sangat berjaya. Kami dapat suarakan apa yang terbuku di hati dan suara kami betul-betul didengari.
“Ini menunjukkan kementerian benar-benar mendengar hasrat kami,” katanya.
Terdahulu, sesi libat urus berkenaan menghimpunkan kira-kira 105 penggiat animasi tempatan dengan penyertaan ahli Animas yang berdaftar mencecah hampir 5,000 orang.










