Raja Norazli Dakwa Pelantikan YDPB Langgar Injunksi

SEREMBAN: Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin memberi amaran akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap pihak-pihak yang didakwa terlibat dalam pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan susulan pelanggaran perintah injunksi ad interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

Menurut beliau, tindakan itu dipertimbangkan selepas mendapati terdapat pihak yang meneruskan proses pelantikan berkenaan walaupun mahkamah telah mengarahkan status quo DKU serta kedudukannya sebagai Setiausaha DKU dikekalkan sehingga isu bidang kuasa dan kebolehadilan diputuskan.

Raja Norazli berkata, perintah yang diberikan Hakim Roz Mawar Rozain itu bertujuan memastikan tiada sebarang perubahan dibuat terhadap kedudukan sedia ada sementara prosiding mahkamah masih berjalan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa laporan media menunjukkan beberapa plaintif, khususnya Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, terlibat atau mengambil bahagian dalam pelantikan seorang Yang Dipertuan Besar yang dikatakan dibuat mengikut Fasal 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 selepas injunksi tersebut dikeluarkan.

Katanya, tindakan berkenaan dilihat sebagai cubaan mengingkari perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.

Sehubungan itu, peguam beliau telah mengemukakan surat kepada peguam pihak plaintif bagi memaklumkan hak untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah demi mempertahankan integriti dan kewibawaan perintah yang telah dikeluarkan.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan itu merupakan tambahan kepada prosiding penghinaan mahkamah yang telah difailkan sebelum ini terhadap plaintif berhubung beberapa tindakan yang didakwa dilakukan sejak prosiding pertama kes tersebut di Mahkamah Tinggi pada 13 Mei lalu.

Kes berkaitan prosiding penghinaan mahkamah itu dijadualkan didengar pada 7 Julai depan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ad interim terhadap enam plaintif dalam pertikaian melibatkan DKU Negeri Sembilan. Perintah itu antara lain menghalang mereka daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat, termasuk Sidang Khas yang dijadual berlangsung pada hari sama.

Selain Datuk Maarof, plaintif lain yang terlibat ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles