SEREMBAN – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menolak dakwaan bahawa UMNO menjadi punca ketidakstabilan politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin berkata, tuduhan yang dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor itu disifatkan sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, UMNO tidak memegang tampuk pentadbiran Negeri Sembilan dan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan dalam kerajaan negeri.
“UMNO bukan kerajaan negeri, bukan Menteri Besar dan tidak mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan. Jadi bagaimana UMNO boleh dipersalahkan atas krisis yang berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan?” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau mendakwa apa yang berlaku ketika ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menguruskan konflik yang melibatkan institusi adat dan pentadbiran sehingga keadaan menjadi semakin rumit serta berpanjangan.
Katanya, rakyat menyaksikan sendiri bagaimana krisis tersebut berlarutan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan berkaitan institusi adat negeri sebelum akhirnya membawa kepada pembubaran DUN.
“Persoalannya, mengapa semua kegagalan pentadbiran ini mahu diletakkan di atas bahu UMNO? Menteri Besar daripada PKR yang mentadbir negeri, Menteri Besar PKR yang membuat keputusan membubarkan DUN, tetapi UMNO pula yang mahu dipersalahkan,” katanya.
Mohamad Fadil turut menggesa Pakatan Harapan supaya berhenti mencari pihak lain untuk dipersalahkan dan sebaliknya memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung punca sebenar krisis yang berlaku.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui mengapa sebuah negeri yang dianggap stabil akhirnya berdepan kemelut politik sehingga membawa kepada pembubaran DUN.
“Rakyat tidak mahu propaganda politik. Rakyat mahukan penjelasan, ketelusan dan jawapan kepada persoalan yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau berkata, pengundi Negeri Sembilan cukup matang untuk menilai pihak yang mentadbir negeri serta pihak yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap perkembangan semasa.
Sebelum ini, Ketua AMK Johor dilaporkan mendakwa tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan menjadi faktor yang menyumbang kepada ketidakstabilan politik sehingga membawa kepada pembubaran DUN Negeri Sembilan.










