Melaka Belum Bersedia Bubar DUN – Ab Rauf

MELAKA: Kerajaan Melaka belum bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat meskipun Johor dan Negeri Sembilan telah mengambil langkah tersebut bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pentadbiran negeri masih mempunyai beberapa urusan penting yang perlu disempurnakan, termasuk agenda kebajikan rakyat sebelum sebarang keputusan mengenai pembubaran DUN dipertimbangkan.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar dan program rakyat sehingga tarikh yang sesuai diumumkan kelak.

“Kita masih meneruskan tanggungjawab pentadbiran untuk memastikan kepentingan rakyat terus terbela. Pada masa sama, Melaka juga akan menghantar jentera bagi membantu kempen pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis doa selamat sempena kepulangannya daripada menunaikan ibadah haji di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ab Rauf menjelaskan bahawa tempoh DUN Melaka hanya akan berakhir pada 30 Disember 2026 dan kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk menentukan masa paling sesuai bagi pembubarannya.

Katanya, situasi politik serta pentadbiran di Melaka berbeza berbanding Johor dan Negeri Sembilan, justeru tiada keperluan untuk mengambil tindakan tergesa-gesa.

“Setakat ini saya masih belum mendapat ilham bila DUN Melaka perlu dibubarkan,” katanya berseloroh.

Beliau turut menegaskan tidak berdepan sebarang tekanan daripada mana-mana pihak yang mendesak supaya pilihan raya negeri diadakan lebih awal.

Menurutnya, setiap keputusan akan dibuat berdasarkan keutamaan pentadbiran negeri dan bukannya dipengaruhi pihak luar.

“Kita tidak akan mengikut rentak yang dimainkan orang lain. Rentak mereka adalah rentak mereka, manakala rentak Melaka adalah rentak Melaka,” tegasnya.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kemungkinan Melaka mengadakan pilihan raya serentak dengan negeri lain, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan.

“Dalam politik, apa sahaja boleh berlaku. Tunggu dan lihat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles