Pakatan Harapan (PH) Sabah melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dengan tema Harapan Urang Sabah (Haus), yang merangkumi lapan komitmen utama untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata komitmen pertama yang diberi penekanan adalah tuntutan dan pengurusan 40 peratus hasil Sabah agar disalurkan sebaiknya kepada rakyat.
Selain itu, PH Sabah turut berikrar memastikan hak Sabah terjamin melalui penubuhan Sabah Sovereign Wealth Future Fund.
Lapan komitmen utama PH Sabah, seperti yang digariskan oleh Mustapha, adalah:
1. Tuntutan dan pengurusan 40% hasil Sabah.
2. Penubuhan Sabah Sovereign Wealth Future Fund.
3. Memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Khas DUN merentas blok bagi akauntabiliti GLC dan agensi.
4. Reformasi pentadbiran Sabah melalui penstrukturan semula Kabinet.
5. Penyediaan 20,000 peluang pekerjaan untuk golongan muda serta elaun sara hidup RM1,200 setahun.
6. Pembangunan industri bernilai tinggi melalui aktiviti hiliran sektor gas, balak, kelapa sawit, pasir silika, agro-maritim, dan pemprosesan makanan laut.
7. Agenda pemerkasaan wanita dengan memastikan 30 peratus penglibatan wanita dalam Kabinet Sabah, GLC, dan kepimpinan tempatan.
8. Agenda Sabah Maju Bersama Malaysia Madani, menjadikan Sabah pemain utama serantau melalui kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan.
Mustapha menegaskan PH Sabah tidak menjanjikan janji manis semata-mata, sebaliknya menawarkan dasar yang realistik dan boleh dilaksanakan demi rakyat, dan berharap komitmen ini akan diterima dan disokong oleh rakyat Sabah.










