KOTA KINABALU: Di sebalik serangan politik yang dianggap bertujuan melemahkan beliau, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tetap tampil penuh semangat pada pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, hari ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kehadiran Bung Moktar di majlis itu adalah bukti jelas bahawa cubaan musuh politik untuk memadamkan pengaruhnya tidak berjaya.
Menurutnya, semangat pemimpin UMNO Sabah itu masih “membara” untuk mengembalikan gelombang biru di negeri berkenaan.
“Kenapa Bung Moktar tidak membentangkan manifesto sebagai Ketua UMNO Sabah? Kerana semangat beliau cuba dipatahkan oleh lawan, namun beliau tetap berada di sini bersama kita. Beliau bersama rakan-rakan sedang menghidupkan semula gelombang biru baharu di Sabah,” kata Zahid ketika merasmikan manifesto berkenaan.
Manifesto BN untuk PRN Sabah kali ini membawa tema Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menghimpunkan enam teras utama pembangunan.
Zahid turut menyifatkan BN sebagai “underdog” dalam saingan kali ini, namun yakin rakyat Sabah masih merindui sentuhan pembangunan yang pernah dibawa parti itu.
“Kerinduan rakyat kepada BN sangat tinggi. Enam tonggak manifesto ini adalah aku janji sebenar yang akan BN Sabah lunaskan,” katanya.
Majlis pelancaran hari ini turut menyaksikan Zahid bersama calon BN N.58 Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengangkat buku manifesto sebagai simbol kesiapsiagaan jentera BN menghadapi PRN-17.










