TAWAU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Dr. Elmiariezan Ardan, menyatakan bahawa sepanjang enam hari berkempen, pihaknya menerima respon yang sangat positif daripada masyarakat setempat, khususnya golongan muda.
Beliau berkata, sambutan hangat daripada anak muda dan belia di kawasan tersebut memberi keyakinan bahawa gelombang sokongan terhadap BN semakin meningkat.
Dr. Elmiariezan juga mengakui bahawa masih ada pengundi yang belum mengenalinya sepenuhnya, namun menjelaskan bahawa beliau telah bekerja di kawasan Apas sejak tiga tahun lalu.
“Saya merayu kepada pengundi, terutama yang mungkin baru mengenali saya, agar memberi peluang kepada calon muda seperti saya untuk membawa perubahan di Apas,” katanya ketika ditemui pada program walkabout di Pasar Malam Chester, Tawau, malam tadi.
Dr. Elmiariezan, yang pertama kali bertanding di Apas, optimis terhadap peluang BN untuk menawan kembali kerusi tersebut.
“Insya Allah sokongan anak muda memang memihak kepada kita. Ini batu loncatan untuk kemenangan di Apas,” katanya.
Beliau turut menegur pemimpin politik dari luar Sabah supaya lebih berhati-hati ketika berceramah, terutama melibatkan sensitiviti kaum dan etnik di negeri itu.
“Sabah ini pelbagai kaum. Jadi saya berharap pemimpin luar lebih sensitif dan menghormati kepelbagaian di sini,” tegasnya.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sentimen kenegerian yang dimainkan parti tempatan bertujuan mengalih perhatian daripada isu sebenar seperti infrastruktur dan penyelewengan, Dr. Elmiariezan sependapat.
“Parti kita dikuasai oleh anak jati Sabah sendiri. Jadi isu itu lebih kepada mengalihkan perhatian rakyat daripada perkara yang berlaku sebelum ini. Saya bersetuju dengan pandangan PMX,” katanya.
Program walkabout tersebut melihat kehadiran ramai pengunjung, dengan Dr. Elmiariezan mengambil peluang bertemu dan beramah mesra bersama peniaga serta penduduk sekitar.










