KOTA KINABALU: Menghadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal antara yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) sekiranya diberikan mandat untuk menerajui kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17)
Cadangan terbabit merupakan antara tawaran yang digariskan di bawah salah satu daripada enam tonggak dalam manifesto BN menerusi Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang dilancarkan, hari ini.
Pembentangan manifesto itu dibuat oleh Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak ketika majlis pelancarannya yang diadakan bertempat di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Ketika pembentangan terbabit, katanya langkah reformasi tersebut bertujuan bagi mengelakkan tumpuan kuasa berpanjangan pada mana-mana individu, membuka ruang kepada kepimpinan baharu dan dinamik yang berfokus kepada kepentingan rakyat serta mengukuhkan prinsip demokrasi.
Disamping itu, BN turut berjanji untuk meningkatkan jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan daripada enam kepada 12 bagi memastikan wakil daripada kumpulan minoriti di Sabah mendapat tempat sewajarnya.
“Kita mahu memastikan setiap komuniti, tanpa mengira latar belakang, mempunyai representasi adil dalam proses penggubalan dasar.
“BN percaya Sabah berpotensi menjadi model politik inklusif dan saksama yang mengutamakan kesejahteraan seluruh rakyatnya,” katanya.
Di peringkat Persekutuan, BN turut akan mendesak semakan semula peruntukan yang menetapkan 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.
Gabungan itu menegaskan langkah berkenaan penting bagi memastikan keseimbangan dan menjaga kepentingan kedua-dua negeri terbabit di peringkat nasional.
“BN kekal komited mempertahankan hak politik Sabah dan kedudukannya sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia.” katanya.










