KUALA LUMPUR: Pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, dibebaskan dengan jaminan polis selepas sembilan hari direman bagi membantu siasatan kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan bulan lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan pembebasan itu dibuat selepas pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati tiada petunjuk kukuh yang mengaitkan artis berusia 42 tahun itu secara langsung dengan kematian mangsa.
“Setakat ini, siasatan tidak menemui bukti yang menunjukkan dia terbabit dalam kematian si mati. Namun, siasatan masih diteruskan dan PDRM telah diarahkan menjalankan siasatan lanjut,” katanya memetik Harian Metro semalam.
Mohd Dusuki menjelaskan, pihak polis akan mengumpul lebih banyak maklumat sebelum sebarang keputusan pendakwaan dibuat.
Namewee sebelum ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November lalu dan direman selama sembilan hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, pempengaruh wanita Taiwan berusia 31 tahun itu ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, pada 22 Oktober lalu.
Difahamkan, Namewee merupakan individu terakhir yang dilihat bersama mangsa sebelum kejadian.










