‘Inspektor Sheila’ Mengaku Tidak Bersalah Halang Anggota Polis Bertugas

KUALA LUMPUR: Pegawai polis yang digantung tugas, Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan menghalang tugas seorang anggota polis di Jalan Sultan Azlan Shah, 4 November lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aina Azahra Arifin.

Berdasarkan pertuduhan, Sheila didakwa dengan sengaja menghalang tugas seorang penjawat awam, Lans Koperal Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, dari Balai Polis Chow Kit yang ketika itu menjalankan rondaan cegah jenayah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah, kawasan Dang Wangi antara jam 8.15 hingga 8.30 malam pada tarikh berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap tertuduh, namun peguamnya, M. Manoharan memohon jumlah lebih rendah atas alasan anak guamnya masih anggota polis dengan tempoh perkhidmatan sembilan tahun.

“Bapa tertuduh, berusia 70 tahun, seorang bekas pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) juga hadir sebagai penjamin. Anak guam saya turut memberi kerjasama penuh kepada mahkamah dalam tiga kes lain sebelum ini,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Aina Azahra menetapkan jaminan sebanyak RM6,600 dengan seorang penjamin warga tempatan, dan menetapkan 20 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Sheila yang berpakaian merah jambu putih tiba di mahkamah dengan tangan bergari sambil diiringi anggota polis.

Beliau sempat tersenyum ke arah wakil media sebelum menegur dengan suara tegas agar gambarnya tidak dirakam tanpa kebenaran.

Sebelum ini, tular video memaparkan seorang wanita memperlekeh anggota polis yang didakwa mengugut seorang lelaki warga Pakistan menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus kemudian mengesahkan anggota terbabit telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Beliau turut memaklumkan bahawa ‘Inspektor Sheila’ telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 susulan beberapa kes terdahulu termasuk menghina anggota polis serta mengugut seorang wanita warga emas.

BBerkaitan

Latest articles