SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyasarkan potensi pelaburan sehingga RM8 bilion menerusi pelbagai kerjasama strategik melibatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Persefahaman (MoA).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, acara yang dijadual berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026 itu dijangka menarik lebih empat juta pengunjung.
Menurut beliau, kira-kira 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa akan mengambil bahagian dengan sasaran jualan langsung mencecah RM55 juta sepanjang ekspo berlangsung.
Katanya, MAHA 2026 tampil dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” yang menekankan pembangunan industri agromakanan berasaskan inovasi dan peningkatan nilai tambah.
Beliau berkata, penganjuran kali ini turut memberi perhatian khusus terhadap penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian moden.
“MAHA bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya platform memperkenalkan transformasi sektor pertanian yang kini semakin dipacu teknologi dan inovasi.
“Kita mahu lebih ramai anak muda melihat pertanian sebagai industri masa depan yang progresif dan berpotensi besar,” katanya ketika menghadiri Program Hi-Tea bersama penaja berpotensi MAHA 2026 menerusi sesi ‘Pitch and Connect @ MAHA2026’ di MAEPS, hari ini.
Tambah beliau, hampir 800,000 belia dijangka terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti sepanjang ekspo berkenaan berlangsung.
Antara pembaharuan yang bakal diketengahkan termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), aplikasi dron dalam penanaman padi serta sistem pertanian pintar yang lebih efisien.
Mohamad berkata, perubahan teknologi dalam sektor agro perlu terus diperkasakan bagi memastikan agenda keterjaminan makanan negara kekal relevan dan mampan.
Dalam usaha memastikan kejayaan MAHA 2026, kementerian turut melaksanakan siri promosi di beberapa lokasi termasuk zon utara, Melaka, Klang, Kota Kinabalu, Labuan dan Kelantan.
Selain pameran teknologi pertanian, pengunjung juga bakal disajikan dengan pelbagai tarikan menarik seperti Agrotech, Young Agropreneur, Magical Garden, Agro Safari, Kingdom of Agrofood serta pertunjukan laser, cahaya dan dron.










