PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan terperinci di Dewan Rakyat esok berhubung keputusan kerajaan untuk tidak merayu terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah, seperti termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Anwar berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri selepas meneliti implikasi perundangan serta kepentingan semua pihak dalam mesyuarat Kabinet semalam.
“Kita memutuskan secara konsensus mengenai isu 40 peratus mengikut Perkara 112C dan 112D. Keputusan itu tidak kita rayu, tetapi ada aspek penghakiman yang akan kita rayu. Penjelasan lanjut akan saya sampaikan di Parlimen esok,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi.
Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas perbincangan panjang bersama ahli Kabinet termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang antara paling lantang menyuarakan pandangan dalam isu berkenaan.
“Setelah berunding berjam-jam dan mendengar semua pandangan, kita capai kata sepakat. Keputusan ini bukan dibuat tergesa-gesa, tetapi melalui penelitian yang mendalam,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, pendekatan berhati-hati diambil bagi memastikan hak negeri Sabah dan Sarawak terus dipertahankan tanpa mencetuskan kekeliruan dari sudut perundangan atau menjejaskan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, Anwar memberi jaminan kerajaan kekal komited terhadap semangat federalisme dan rundingan berterusan yang adil antara wilayah.
“Keutuhan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, serta kesefahaman antara pemimpin, penting untuk memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjalan secara mapan dan tidak menjejaskan keharmonian negara,” katanya.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan kerajaan Persekutuan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, sebaliknya akan memulakan rundingan segera dengan kerajaan negeri itu.
Bagaimanapun, AGC turut menjelaskan Jemaah Menteri telah dinasihatkan mengenai kecacatan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi yang antara lain mengandungi tuduhan berat terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah, termasuk dakwaan salah guna kuasa serta pelanggaran kewajipan perlembagaan sejak 1974.
Lantaran itu, kerajaan akan mengemukakan rayuan berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Celestina Stuel Galid dalam keputusannya turut mengisytiharkan bahawa pemberian khas antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri “tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,” serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.










