Namewee Didakwa Ada Hubungan Istimewa Dengan Wanita Taiwan Ditemui Mati Di Bilik Hotel

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau Namewee, yang kini direman bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan, dipercayai mempunyai ‘hubungan istimewa’ dengan mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati Namewee telah bersama wanita itu sejak dari luar negara sehingga kedua-duanya berada di negara ini.

“Setakat ini, siasatan mendapati suspek memang mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa. Kita juga telah merakam keterangan semua individu yang terlibat dalam kes ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Deepavali Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat dan laporan toksikologi mangsa yang dijangka mengambil sedikit masa.

Fadil berkata, mayat wanita itu juga masih belum dituntut oleh keluarganya.

“Ada individu cuba menuntut (mayat) tetapi kita tidak benarkan kerana tiada keizinan. Jadi kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang keluarga mangsa untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penyanyi rap berkenaan dibenarkan disambung reman tiga hari hari hingga Khamis ini selepas reman pada 5 November lepas berakhir semalam.

Mangsa iaitu Hsieh Yun Hsin, 33 tahun ditemukan mati di dalam tab mandi di bilik air di sebuah hotel di Jalan Conlay, dekat sini, pada 22 Oktober lepas sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes itu yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), kini disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Namewee dipercayai merupakan individu terakhir yang dilihat bersama mangsa. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles