KPM Nafi Soalan Ujian Bertutur SPM Bocor

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan kononnya berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang sedang tular di media sosial.

Dalam kenyataannya hari ini, KPM menjelaskan bahawa bahan yang dikongsi di platform sosial hanyalah senarai tema umum yang sudah pun terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), bukan soalan sebenar peperiksaan.

“Senarai tema yang tersebar hanyalah ramalan dibuat oleh guru dan calon peperiksaan. Ia sama sekali tidak memenuhi takrif kebocoran soalan seperti ditetapkan dalam prosedur pengurusan dan kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan,” tegas KPM.

Penjelasan itu dibuat susulan penularan dakwaan di media sosial yang mendakwa soalan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi SPM tahun ini telah bocor lebih awal.

KPM menegaskan bahawa semua kertas peperiksaan awam disediakan dan dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Kertas peperiksaan tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak selain pegawai yang diberi kuasa. Setiap langkah keselamatan dilaksanakan bagi memastikan kerahsiaan peperiksaan kekal terpelihara,” katanya.

Kementerian turut menasihatkan calon peperiksaan supaya tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang beredar dalam talian dan terus memberi tumpuan kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.

“KPM komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam sentiasa terjamin demi keadilan kepada semua calon SPM 2025,” tambah kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles