PN umum 41 calon di Sabah, 90 peratus muka baharu

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan senarai 41 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan 90 peratus daripadanya terdiri daripada muka baharu.
Senarai calon itu diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Majlis Pengumuman Calon PN Sabah di ITCC Penampang.

“Daripada jumlah itu, hanya satu kerusi iaitu DUN Sindumin belum diumumkan. Komposisi calon merangkumi 33 calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lima calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan tiga calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Semua calon akan bertanding menggunakan simbol Perikatan Nasional,” katanya.

PN turut menampilkan komposisi inklusif dengan lima calon wanita (15 peratus) serta 30 peratus calon muda, melambangkan usaha memperluas penyertaan golongan profesional dan belia dalam kepimpinan politik.

Muhyiddin berkata walaupun majoriti calon adalah muka baharu, mereka memiliki kelayakan dan rekod pencapaian yang meyakinkan.

“Mereka ini mungkin muka baharu, tetapi masing-masing mempunyai rekod baik dan cemerlang. Dari segi profesion, sebahagian besar masih muda. Mereka melalui proses saringan bagi memastikan calon yang kita ketengahkan benar-benar berkelayakan,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan meletakkan 41 calon, Muhyiddin menjelaskan jumlah itu ditentukan selepas penelitian secara terperinci di kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi kemenangan.

“Kami memilih 41 kerana kami yakin itu jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. Berdasarkan maklumat yang kami terima, ini angka yang kami percaya boleh dicapai,” jelasnya.
Beliau turut berharap rakyat Sabah memberi peluang kepada PN untuk membentuk kerajaan baharu.
“Yang penting, kita berharap rakyat Sabah dapat menerima pilihan ini dan memberi peluang kepada Bersatu atau PN untuk menang,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama pasca pilihan raya, Muhyiddin menegaskan PN sentiasa terbuka.

“Memang itu strategi kita. Jika boleh bekerjasama dengan parti yang sehaluan, sepemikiran dan seideologi, itu tidak menjadi masalah. Yang penting, semua bersedia memikul tanggungjawab bersama dalam pembentukan kerajaan. Jika itu dapat dilakukan, pembentukan kerajaan akan menjadi lebih mudah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles