KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan kertas siasatan terhadap seorang wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ yang sekali lagi mencetus kontroversi selepas memperlekeh anggota polis ketika pemeriksaan di Jalan Ipoh, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan berkenaan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut.
“Kertas siasatan kes ‘Inspektor Sheila’ telah siap dan dirujuk ke pejabat TPR hari ini. Kita sedang menunggu arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada 4 November lalu apabila wanita tersebut didakwa memperlekeh anggota polis yang sedang menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga asing di Jalan Ipoh.
Menurut laporan sebelum ini, wanita terbabit turut menuduh anggota bertugas tidak memahami undang-undang serta mendakwa mereka mengugut warga asing terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan wanita itu memuat naik rakaman kejadian sambil mempertikaikan tindakan anggota polis berkenaan terhadap seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.
Difahamkan, ‘Inspektor Sheila’ telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 susulan beberapa kes terdahulu termasuk menghina anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.










