BN Johor Akan Bertanding Semua 56 Kerusi DUN Pada PRN Akan Datang

JOHOR BAHRU: Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN Johor itu berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri berhubung hala tuju parti menjelang PRN.

Menurut beliau, keputusan itu turut dicapai selepas perbincangan diadakan bersama pucuk pimpinan parti.

“Dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab, saya menyatakan bahawa Barisan Nasional Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendirian untuk bertanding di semua kerusi DUN merupakan tawaran jelas kepada rakyat bahawa BN Johor bersedia untuk terus membentuk kerajaan negeri yang stabil, kukuh dan komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, fokus utama parti adalah memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor terus diperkasakan.

“Bagi UMNO dan Barisan Nasional Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles