KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan khabar angin kononnya akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat, sambil menegaskan bahawa perkara itu tidak termasuk dalam agenda mesyuarat Jemaah Menteri esok.
Menurut beliau, tumpuan mesyuarat berkenaan hanya kepada keputusan sama ada kerajaan akan memfailkan rayuan terhadap satu isu tertentu, selepas mendengar penjelasan daripada Peguam Negara.
“Mesyuarat esok hanya bagi memuktamadkan soal sama ada kerajaan akan membuat rayuan atau tidak. Negara kita ada undang-undang dan setiap proses mesti diikuti.
“Kita dengar dulu pandangan Peguam Negara sebelum buat keputusan. Pendirian awal saya sudah disampaikan, tapi keputusan muktamad akan dibuat selepas perbincangan bersama Kabinet,” katanya dalam rakaman video yang dikongsikan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri program Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak, Sabah.
Dalam masa sama, beliau turut membidas segelintir pihak yang mempertikaikan komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan menegaskan tuduhan itu tidak berasas.
“Yang marah-marah itu tak ada maknanya. Kerajaan MADANI kekal tegas melaksanakan MA63, malah lebih kukuh dan terjamin dari segi peruntukan kepada Sabah berbanding sebelum ini,” katanya lagi.










